Berita

MCMC perkasa pembangunan usahawan digital menerusi PEDi

|
- Diterbit 22 Ogos 2023 12:00 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkasa pembangunan usahawan digital melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif kelas bimbingan dan latihan melalui platform e-dagang selaras ke arah memacu pendigitilan negara.

Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan, Alyas Roy Amir berkata matlamat PEDi di seluruh Wilayah Persekutuan adalah seiring iaitu memfokuskan transformasi digital dengan membimbing dan melahirkan usahawan mikro menggunakan teknologi bagi kegiatan ekonomi digital untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

“Sehingga tahun ini, seramai 1.3 juta pengguna berdaftar telah direkodkan di PEDi dan daripada jumlah tersebut, seramai 18,467 adalah pengguna di Wilayah Persekutuan manakala 11,692 pula di Kuala Lumpur.

“Walau bagaimanapun, seramai 54,348 pengguna PEDi telah berjaya dilatih untuk menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi, keusahawanan serta advokasi menerusi program yang ditawarkan pusat berkenaan di seluruh Wilayah Persekutuan dan 4,830 daripadanya dilatih di PEDi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai komuniti setempat terlibat dalam merancakkan ekonomi digital selaras pencapaian PEDi yang telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya meluaskan perniagaan mereka.

“PEDi telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya meluaskan perniagaan melalui pelbagai program latihan keusahawanan yang dilaksanakan di PEDI, antaranya ialah kelas persediaan kertas cadangan perniagaan dan kelas pemasaran perniagaan melalui platform digital.

“Atas usaha ini banyak kisah kejayaan juga telah direkodkan antaranya kisah kejayaan Norashikin yang mengusahakan perniagaan atau Kin Kitchen iaitu produk makanan sejuk beku dan cafe di PPR Seri Pantai yang mana diawal perniagaannya, pendapatan beliau hanya RM600 sehingga RM1,000 sebulan,”kongsinya pendapatan Norashikin kini mencecah RM3,500 sehingga RM5,000 sebulan.

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar mengadakan lawatan kerja ke PEDi di PPR Seri Pantai, Kuala Lumpur bagi menyantuni komuniti, pengguna dan usahawan digital yang dilahirkan melalui program latihan keusahawanan digital di PEDI PPR Seri Pantai.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Abdullah Izhar Mohamed Yusof, pegawai-pegawai kanan JWP serta komuniti sekitar PPR Seri Pantai. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas