Berita

MCMC periksa premis, sita peranti ekoran elemen jelek melampau

- Diterbit 11 Mei 2025 10:45 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan pemeriksaan terhadap premis milik seorang individu

bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung siasatan yang sedang
dijalankan ke atasnya.

MCMC dalam kenyataan memberitahu, siasatan itu melibatkan kandungan yang dimuat naik melalui akaun Facebook
individu tersebut, yang dipercayai mengandungi elemen jelik melampau
berunsur 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja).

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penyebaran
kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam, dengan
niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang
lain.

“Pemeriksaan tersebut dilaksanakan selepas MCMC memperoleh waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 247 AKM 1998.

“Hasil daripada pemeriksaan itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Ujar kenyataan itu, sesi pemeliharaan data dan rakaman percakapan telah diadakan di Balai Polis Pudu pada 9 Mei 2025.

“Terdahulu individu terbabit turut hadir ke Ibu Pejabat MCMC bagi memberikan
keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

“MCMC ingin menegaskan, tindakan yang dilaksanakan adalah berlandaskan
peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah AKM 1998.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk memberikan ruang agar siasatan dapat dilengkapkan dengan telus dan menyeluruh,” tulisnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas