Berita

MCMC lancar sistem PRIME, siap siaga hadapi bencana

Foto: BERNAMA
- Diterbit 16 Jun 2025 5:00 PM MYT

SISTEM Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dilancarkan dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam berhadapan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia merupakan satu inisiatif strategik Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan
yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron.

“Sistem PRIME ini berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi, membolehkan operasi
menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara
berkesan bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk di kawasan terpencil atau terjejas liputan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran PRIME di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa;  Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata sebagai permulaan, tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat.

“Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi
menyokong operasi di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi unit akan disiapkan menjelang akhir 2025 dan ditempatkan di Pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pelaksanaan PRIME juga akan memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan, sekali gus meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara.

“Hal ini amat penting bagi memastikan tindak balas pantas dan berkesan dapat dilaksana, walaupun termasuk di kawasan terpencil atas sukar liputan.

“Kita akan sediakan bagi tujuan agensi-agensi (keselamatan) seperti NADMA.

“Saya harap MCMC boleh bekerjasama dengan semua agensi termasuk NADMA bagi memastikan peralatan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya terutama waktu bencana dan kecemasan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas