SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan Kaji Selidik Penggunaan
Perkhidmatan Pos di Malaysia bagi mendapatkan maklum balas rakyat
tentang keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan dalam usaha
meningkatkan mutu perkhidmatan pos dan kurier di negara ini.
MCMC dalam kenyataan memberitahu, kaji selidik yang dibuka sehingga 23 Mei itu merupakan sebahagian
daripada inisiatif di bawah Kajian Dasar Strategik Sektor Pos bagi
menyokong cadangan pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Pos 2012 (APP 2012), yang sedang diteliti MCMC untuk pertimbangan pihak kerajaan.
“Pelaksanaan pindaan ke atas APP2012 bertujuan untuk memastikan
rangkaian perkhidmatan pos dan kurier di Malaysia akan terus menjadi
titik sentuh rakyat yang strategik menerusi pembangunan dan kawal
selia holistik dan inklusif.
“Pindaan akta ini juga dapat melindungi dan memastikan kelestarian pemain industri tempatan yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran di samping memenuhi keperluan pengguna yang kian
meningkat,” maklum kenyataan itu.
Tambahnya, dapatan daripada kaji selidik itu diharap dapat membantu kerajaan
dalam perancangan dan pembangunan inisiatif yang relevan dalam perkhidmatan pos agar dapat membantu industri tempatan dan memenuhi keperluan rakyat dalam kehidupan seharian, untuk satu jangka masa panjang.
“Pada masa sama, sektor perkhidmatan pos dan kurier yang menjadi
tunjang penting dalam aktiviti perkhidmatan penghantaran
bungkusan, dapat memastikan pertumbuhan sektor e-dagang negara
akan terus meningka,” tulisnya. – WILAYAHKU