Berita

MCMC jalankan Survei Kepuasan Pelanggan Penyiaran Persendirian

Foto: BERNAMA
- Diterbit 28 Ogos 2024 1:01 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan Survei Kepuasan Pelanggan Penyiaran Persendirian 2024 (CSS-B 2024) secara dalam talian dan panggilan telefon bermula semalam hingga 31 Dis ini.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan survei itu bertujuan mengumpul data bagi mengukur kualiti pengalaman dan persepsi pengguna terhadap penyampaian perkhidmatan penyiaran persendirian di Malaysia.

Untuk penyertaan secara dalam talian, orang ramai berumur 15 tahun dan ke atas dijemput menjawab survei ini dengan melayari pautan di https://survey.zohopublic.com/zs/ON06dz.

“Data yang dikumpulkan melalui platform dalam talian ini menggunakan teknologi penyulitan SSL (Secure Socket Layer), disimpan dalam pangkalan data tempatan yang dilindungi kata laluan dan alamat IP tidak disimpan.

“Responden disarankan untuk membersihkan cache dan sejarah pengimbas komputer bagi melindungi privasi setelah menjawab survei ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, tujuan survei ini adalah untuk pengumpulan data sahaja dan tiada sebarang data peribadi seperti nama penuh, kad kredit atau debit atau maklumat bank akan dikutip.

“Tiada wang akan dikutip mahupun sebarang urusan jualan dilakukan. Penyertaan secara sukarela namun penglibatan orang ramai amat dihargai,” menurut kenyataan itu.

Sebarang perubahan tempoh survei akan diumumkan di laman sesawang www.mcmc.gov.my. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas