Berita

Masjid, surau terima bantuan MAIWP

AJIB (kiri) menyerahkan cek replika bantuan bernilai RM759,000 kepada wakil Masjid Al-Ehsan.
- Diterbit 7 April 2022 4:59 AM MYT

SEBANYAK 16 masjid, 25 surau di sini menerima bantuan sejumlah RM759,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi aktiviti pengimarahan sepanjang bulan Ramadan.

Setiausaha MAIWP, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, bantuan itu juga bertujuan bagi memperkasakan aktiviti-aktiviti pentadbiran masjid dan surau. K

atanya, bantuan itu disumbangkan oleh MAIWP kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disalurkan kepada semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan.

“Sebanyak 16 buah masjid akan menerima bantuan sebanyak RM15,000, 16 buah surau Jumaat menerima bantuan RM12,500 dan 29 buah surau menerima bantuan RM11,000.

“Bantuan ini disalurkan bertujuan untuk membantu masjid, surau Jumaat dan surau dalam melaksanakan aktiviti pengimarahan sepanjang bulan Ramadan 1443H di samping membantu memperkasa aktiviti-aktiviti pentadbiran masjid dan surau,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan amil 1443H di pejabat MAIWP Labuan, baru-baru ini.

Beliau berkata, seramai 45 amil telah dilantik dan ditugaskan untuk mengutip Zakat Fitrah pada Ramadan tahun ini. Kesemua amil yang dilantik ditempatkan di 31 lokasi yang telah ditetapkan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya iaitu RM7, RM14 dan RM21,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas