Berita

Masalah kesihatan mental meningkat dua kali ganda

- Diterbit 17 Disember 2024 1:48 PM MYT

TINJAUAN Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati statistik masalah kesihatan mental telah meningkat sebanyak dua kali ganda, menjadikan 4.6 peratus atau satu juta dewasa mengalami kemurungan berbanding 2019.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), kanak-kanak dan remaja (berusia 5 hingga 15 tahun) turut tidak terkecuali mengalami masalah kesihatan mental.

Katanya, NHMS turut menunjukkan peningkatan prevalen masalah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja daripada 7.9 peratus (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) tahun lalu.

“Ini adalah peningkatan sebanyak dua kali ganda.

“Pada tahun ini, bilangan panggilan yang diterima oleh perkhidmatan Talian HEAL 15555 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 16.7 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Zurainah Musa mengenai peratusan rakyat yang mengalamni isu kesihatan mental berbanding lima tahun lepas.

KKM menambah, peningkatan bilangan panggilan oleh Talian HEAL itu menunjukkan kesedaran untuk mendapatkan sokongan kesihatan mental dalam kalangan rakyat semakin meningkat.

“Kita telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) bagi melaksanakan aktiviti promosi dan pencegahan, latihan, survelan serta penyelidikan kepada semua peringkat umur.

“Perkhidmatan Kesihatan Mental juga boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 68 hospital psikiatri termasuk empat institusi kesihatan mental dan 37 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) yang meliputi aspek pengesanan awal, rawatan dan rehabilitasi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas