Berita

Marygrace dinobat Juara OIAM 2025… Bawa pulang hadiah bernilai RM1 juta

- Diterbit 10 Februari 2025 6:15 AM MYT

REZEKI gadis dari Sabah, Marygrace muncul juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) pada pentas akhir yang berlangsung di Studio NTV7, Kuala Lumpur, pada Ahad malam.

Marygrace dari Keningau, Sabah membawa pulang hadiah utama bernilai RM1 juta iaitu wang tunai RM500,000, sebuah kereta Peugeot 408 GT serta kontrak rakaman bersama Alternate Records, lagu baharu yang akan digubah serta diterbitkan oleh bintang muzik Indonesia, Ade Govinda dan jambangan bunga.

Persembahan memukau Marygrace menerusi lagu Titik Mula membawa tuah buatnya sehingga bergelar juara program yang kembali diadakan selepas berehat selama 15 tahun ini,

Tempat kedua dimenangi oleh Kai Deva yang menerima hadiah wang tunai RM50,000.

Tempat ketiga menjadi milik Jimi yang menerima hadiah wang tunai RM30,000, manakala tempat keempat milik Zazzleen dengan menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Persembahan peserta setiap minggu dinilai berdasarkan 60 peratus markah daripada juri tetap Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan, manakala 40 peratus lagi bergantung pada undian penonton.

Episod akhir ini turut menyaksikan kehadiran pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra dan naib Juara musim pertama OIAM, Faizal Tahir sebagai juri jemputan.

Konsert akhir CSOIAM turut menyaksikan kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil membuka tirai persembahan menyampaikan medley lagu Siti Situ Sana Sini, Kau Kekasihku dan Nirmala.

Turut menghiburkan penonton ialah Faizal Tahir menerusi lagu Santai, Cakra Khan dengan lagu Kepada Hati dan Ratu Rock Ella dengan lagu Kesal dan Nuri.

Pentas akhir yang menampilkan tema Malam Paling Fizz ini menyaksikan Jimi tampil menyanyikan lagu Bayangan Tarimu nyanyian asal Jay Jay dan lagu baharu, Tetap Berharap ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Sharon Paul dan Fedtri Yahya.

Marygrace pula dengan lagu Persamaan (nyanyian asal Freedom) dan lagu baharu Titik Mula (ciptaan Audi Mok & Shazee Ishak/ lirik Audi Mok & Shazee Ishak).

Zazzleen pula menyanyikan lagu Akhirnya Kini Pasti (nyanyian asal Anita Sarawak) dan lagu baharu

Merah (ciptaan Audi Mok & Shazee Ishak/ lirik Audi Mok & Shazee).

Kai Deva pula dengan lagu Hijau (nyanyian asal Zainal Abidin) dan lagu baharu Mengejar Bintang (ciptaan Sharon Paul/ lirik Sharon Paul, Shah Shamsiri & Kai Deva).

Program realiti nyanyian yang mencipta fenomena sejak 2006 itu menampilkan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy sebagai pengacara bagi mengendalikan siaran langsung selama lapan minggu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas