Berita

MARA wajibkan kelas Murajaah di 344 Institusi, hafazan Al-Quran diperkasa seiring akademik

- Diterbit 4 Julai 2025 10:15 AM MYT

SEMUA 344 institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan kelas khas Murajaah (ulangkaji) hafazan Al-Quran, sebagai inisiatif memperkukuh keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kemahiran teknikal dan kelestarian ilmu rohani dalam kalangan pelajar.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata inisiatif itu merupakan pendekatan holistik MARA dalam membentuk generasi teknokrat Muslim yang bukan sahaja cemerlang dari segi profesional, malah mempunyai jati diri dan sahsiah unggul berpaksikan nilai Islam.

“Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya hebat dalam akademik atau kemahiran semata-mata, tetapi kosong dari segi rohani. Kelas Murajaah ini akan diwajibkan di semua institusi MARA termasuk MRSM, IKM, KKTM, KPM dan Kolej MARA,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Jelas beliau, program Murajaah akan disusun secara sistematik agar tidak mengganggu jadual pengajian sedia ada, sebaliknya bertindak sebagai pengukuhan harian untuk pelajar yang sudah pernah menghafaz Al-Quran dan sebagai motivasi buat pelajar lain untuk mula menghafal.

“Matlamat utama kita adalah untuk memelihara hafazan Al-Quran dalam kalangan pelajar yang telah menghafaz sebahagian atau keseluruhan 30 juzuk sebelum menyertai institusi MARA, selain menanam rasa cinta kepada Al-Quran dalam kalangan pelajar lain,” katanya.

Sebagai agensi pembangunan Bumiputera, MARA sentiasa menekankan pembangunan modal insan secara seimbang. Justeru, kelas Murajaah ini turut menyokong hasrat kerajaan memperkukuh nilai murni dan integriti dalam sistem pendidikan teknikal serta profesional negara.

Asyraf Wajdi berkata langkah ini juga akan memberi nilai tambah kepada pelajar MARA yang akan memasuki dunia kerjaya kelak dengan identiti sebagai profesional Muslim yang berakhlak dan berintegriti.

“Kita mahu graduan MARA dikenali bukan sahaja kerana keupayaan teknikal atau keilmuan mereka, tetapi juga kerana disiplin, etika dan hubungan mereka yang erat dengan Al-Quran,” tegasnya.

Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan visi pembaharuan MARA sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang berusaha mengarusperdanakan pendidikan integrasi ilmu duniawi dan ukhrawi.

Beberapa MRSM Ulul Albab yang telah mengamalkan pendekatan hafazan sebelum ini menunjukkan keputusan akademik cemerlang di samping kejayaan melahirkan Huffaz profesional. Berdasarkan model kejayaan ini, MARA kini memperluaskan pendekatan Murajaah ke seluruh institusi di bawah seliaannya.

Program ini juga dilihat seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan ilmu, akhlak dan kemajuan insan sebagai tunjang pembinaan negara bangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas