MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) melancarkan program khas Iftar@Road2Haramain bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada para jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen MAPIM dalam memastikan kebajikan jemaah umrah dan haji terus dipelihara, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Program ini bukan sekadar penyediaan makanan, tetapi juga satu bentuk santunan kepada para jemaah yang beribadah di Tanah Suci.
“Ia mencerminkan semangat persaudaraan Islam serta kepedulian terhadap mereka yang berada jauh dari tanah air. Kami percaya bahawa memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah satu amalan yang amat besar pahalanya, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” katanya dalam kenyataan.
Program tersebut akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik termasuk di Lapangan Terbang Malaysia (KLIA & KLIA2), Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (Jeddah), serta di kawasan sekitar Makkah dan Jeddah dengan sasaran penyediaan 10,000 pek makanan setiap hari.
Antara menu yang disediakan adalah nasi belauk seperti gulai kawah, masak hitam, sambal serta Kopi Coffee Star yang diuruskan Aysar Sudee Sdn Bhd, sebuah syarikat gabungan Malaysia iaitu penyedia pes kering yang popular, Sudee.
Tambahnya, penyediaan makanan itu akan lebih berkualiti dan sistematik kerana fasiliti dapur yang moden boleh menghasilkan makanan untuk 25,000 pek pada satu masa.
“Dengan cara ini, penyediaan makanan ini dapat dihasilkan dalam masa yang singkat dan diberikan kepada jemaah dalam keadaan yang masih panas dan segar. MAPIM menyeru lebih banyak pihak, termasuk badan korporat, NGO, serta individu dermawan untuk turut serta dalam menjayakan program ini melalui sumbangan dan penyertaan sukarelawan.
“Kami mengalu-alukan sokongan dari pelbagai pihak untuk memastikan kelangsungan program ini. Setiap sumbangan, sama ada dalam bentuk kewangan atau tenaga, akan memberi impak besar kepada ribuan jemaah yang berada di Tanah Suci,” katanya.
Tambahnya, MAPIM yakin bahawa dengan kerjasama erat semua rakan strategik dan masyarakat umum, program Iftar@Road2Haramain akan menjadi satu kejayaan besar dan membawa keberkatan kepada semua yang terlibat dalam program khas tersebut hasil kerjasama Coffee Star, Aysar Sudee Sdn Bhd dan Aysar Arab Saudi. – WILAYAHKU