Berita

Mangsa kedua hilang di tali air ditemukan lemas pagi ini

- Diterbit 19 Mei 2021 3:18 AM MYT

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia sembilan tahun yang hilang selepas bermain di tali air bersama dua lagi sepupunya yang merupakan pasangan kembar petang semalam, berakhir hari ini apabila mangsa ditemukan lemas kira-kira 9.35 pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata mangsa, Badrul Azhan Nizam Bachik, 9, ditemukan Pasukan Multiskill Team (MUST) yang melakukan pencarian di kawasan kejadian pagi ini.

“Mangsa kedua ini ditemukan lemas berdekatan mangsa pertama, Muhammad Fakhrullah Rozami, 9, yang ditemukan pasukan SAR pada 8 malam tadi.

“Pihak kami menukar strategi dengan melakukan pencarian dari darat dan juga air ketika SAR disambung semula pada pukul 7 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malam tadi, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas dipercayai bermain tali air di Kampung Gelam, Tanjung Keling di sini petang semalam.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Fakruddin, 9, yang juga merupakan kembar kepada Muhammad Fakhrullah, terselamat dalam kejadian tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas