CAKNA dengan nasib yang menimpa mangsa kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,000.
DBKL berkata sumbangan tersebut diberikan kepada seorang ibu tunggal dengan tiga orang anak yang merupakan ketua penghuni unit terbabit.
“DBKL turut menawarkan unit rumah yang baharu di blok sama kepada mangsa sebagai penempatan semula wanita tersebut dan anak–anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, DBKL berkata siasatan oleh pihak bomba mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada peralatan elektronik power bank yang ditinggalkan dalam keadaan sedang dicaj pada soket elektrik.
“Lebihan caj telah mengakibatkan cetusan api dan membakar unit tersebut.
“Penghuni Perumahan Awam (PA) dan PPR khususnya diingatkan agar lebih berhati–hati dalam mengendalikan barangan elektronik yang digunakan agar insiden sebegini tidak berulang pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, DBKL akan terus komited dalam memastikan keselamatan unit PA dan PPR sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.
Terdahulu, kejadian yang dilaporkan sekitar pukul 6 pagi pada 14 September 2024 itu telah memusnahkan keseluruhan unit didiami mangsa bernombor 43-10-15.
Tiga unit lain turut terjejas bekalan elektrik dan satu unit mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut.
Menurutnya insiden tersebut turut mengakibatkan kerosakan pada dinding ruang kaki lima dan siling koridor tingkat 10, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – WILAYAHKU