ISU buli siber sering berlaku dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia dan memberi impak negatif kepada psikologi seseorang yang menjadi mangsa.
Malah mangsa buli ini boleh bertindak di luar kewarasan fikiran dengan mengakhiri segalanya melalui perbuatan membunuh diri.
Pakar Psikologi dan Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata majoriti mangsa tersebut akan mengalami gangguan emosi dan pemikiran yang sangat ekstrem.
Menurut Shazli Ezzat tekanan emosi yang berterusan itu juga boleh menyebabkan mangsa hilang kewarasan dan bertindak di luar jangkaan.
“Apabila seseorang individu berada dalam keadaan tekanan tinggi, mereka juga mungkin bertindak secara impulsif dengan mengambil keputusan untuk menamatkan hidup tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang.
“Fikiran dan emosi mangsa buli ini diganggu dengan banyak perkara-perkara yang negatif jika terus dihimpit si pembuli sehingga mengganggu kehidupan secara holisitk,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.
Shazli Ezzat yang juga Presiden Bakal Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) menambah kesan buli siber akan menyebabkan mangsa menjadi marah, resah, gelisah, takut serta menyumbang kepada kemurungan serta masalah mental yang lain.
“Perkara ini akan menjadi faktor mereka merasakan hilang nikmat hidup dan seterusnya membunuh diri adalah penyelesaian yang terbaik untuk lari daripada masalah ini.
“Ia menyebabkan pelanggaran privasi seperti penyebaran video atau gambar memalukan yang memberi kesan emosi dan fikiran yang lebih kuat kerana menjejaskan reputasi dan maruah,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, sokongan moral daripada masyarakat sekeliling amat penting untuk membina semula semangat mangsa buli siber.
“Ambil peduli serta peka kepada keadaan masyarakat sekeliling. Berikan aura dan kata-kata positif yang boleh membangkitkan semangat mangsa.
“Malah, mendengar luahan mangsa juga merupakan antara salah satu faktor yang boleh memberi impak positif dalam membantu mangsa buli,” katanya.
Katanya, di zaman teknologi yang serba canggih ini, penggguna media sosial perlu lebih bijak untuk tidak terjerumus menjadi mangsa buli.
“Kalau boleh jangan berinteraksi langsung dengan komen-komen atau pengguna-pengguna media sosial yang cuba membuli ini.
“Pengguna media sosial harus bertindak proraktif, seperti menyekat akaun yang berbaur negatif itu dan abaikan segala kata-kata negatif yang boleh mengganggu emosi.
“Setiap pengguna mempunyai hak untuk saring segala informasi atau pengguna media sosial melalui tetapan privasi untuk mengawal siapa yang boleh mengakses dan memberi komen pada kandungan. Gunakan kelebihan tersebut agar kehidupan akan menjadi lebih aman,” ujarnya. – WILAYAHKU