Agama

Manfaat sepenuhnya 10 hari pertama Zulhijah

- Diterbit 26 Mei 2025 9:00 AM MYT

UMAT Islam diingatkan agar tidak memandang ringan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijah yang dianggap paling afdal di sisi Allah SWT, melebihi keistimewaan bulan lain termasuk Ramadan.

Menurut pendakwah bebas, Mohd Shaiful Roseman, bulan Zulhijah bukan sekadar tempoh untuk menyambut Hari Raya Aidiladha atau menunaikan ibadah korban semata-mata, tetapi medan untuk menggandakan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran luar biasa oleh Allah SWT.

Dalam satu hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda bahawa tiada hari-hari yang amalan soleh padanya lebih disukai Allah daripada 10 hari ini. Ini termasuk zikir, puasa, solat sunat, sedekah dan pengorbanan.

MOHD SHAIFUL

Menurut Mohd Shaiful antara amalan yang digalakkan ialah puasa sunat, khususnya pada hari Arafah (9 Zulhijah) bagi mereka yang tidak mengerjakan haji.

Ini katanya puasa sunat itu dapat menghapuskan dosa setahun lalu dan akan datang. Selain itu, takbir, tahlil dan tahmid perlu dilazimi sepanjang hari, bermula dari 1 hingga 13 Zulhijah.

“Walau sibuk bekerja atau mengurus keluarga, umat Islam hari ini boleh menggunakan teknologi seperti aplikasi zikir, mendengar kuliah dalam talian dan menghidupkan rumah dengan bacaan Al-Quran,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar ibu bapa mengambil peluang mendidik anak-anak memahami kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS sebagai asas untuk membina jiwa taat dan sabar.

“Libatkan mereka dalam proses penyembelihan korban, ziarah fakir miskin, atau aktiviti sedekah. Ini bukan sekadar ibadah, ia pendidikan jiwa yang membentuk karakter,” jelasnya.

Dalam konteks Malaysia, beliau mengakui gaya hidup moden menjadi cabaran utama umat Islam untuk menghidupkan bulan Zulhijah lantaran kesibukan kerja, kurang kesedaran, dan pengaruh media hiburan antara faktor yang sering melalaikan masyarakat daripada memanfaatkan hari-hari emas ini.

“Kita perlu rancang. Peruntukkan masa untuk ibadah. Jadikan amalan harian seperti berzikir, bangun tahajud atau solat Dhuha sebagai rutin tetap. Jangan biarkan peluang ini berlalu sia-sia,” tegasnya.

Mengulas lanjut katanya Zulhijah juga perlu dijadikan sebagai permulaan kepada perubahan diri secara konsisten dan bukan sekadar semangat sementara menjelang Aidiladha.

“Tulis azam, catat amalan harian dan bangunkan sistem sokongan dengan keluarga atau rakan-rakan. Jadikan Zulhijah sebagai titik permulaan bukan penutup semangat,” katanya.

Beliau menambah umat Islam harus melihat Zulhijah sebagai bulan latihan jiwa dan akhlak seperti mana Ramadan yang melatih sifat sabar dan disiplin.

“Allah buka seluas-luasnya peluang untuk kita tebus kekurangan sepanjang tahun ini. Jangan biarkan hari-hari ini berlalu tanpa sebarang usaha rohani. Rebut, hidupkan, dan istiqamah dalam amalan,” katanya. – WILAYAHKU

5 Amalan Disarankan Sepanjang Zulhijah:

Berpuasa sunat terutamanya pada Hari Arafah (9 Zulhijah).

Melazimi takbir, tahmid dan tahlil siang dan malam.

Solat sunat Dhuha, Tahajud dan Taubat setiap hari.

Bersedekah dan membantu golongan memerlukan.

Banyakkan istighfar dan jauhi maksiat zahir dan batin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas