Berita

Manfaat Dermasiswa

SEBAHAGIAN penerima Dermasiswa IPT YWP Tahun 2025.
- Diterbit 23 Februari 2025 10:00 AM MYT

PENERIMA Dermasiswa Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berazam untuk memanfaatkan bantuan kewangan yang diterima serta memberikan tumpuan dalam pelajaran sekali gus menamatkan pengajian dengan cemerlang.

SHARMILA

Menurut penuntut tahun kedua, Ijazah Sarjana Muda Biologi Gunaan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Sharmila A/P Rajendran, 21, bantuan kewangan yang diterimanya akan dimanfaatkan bagi menguruskan perbelanjaan harian sepanjang di kampus.

Ujarnya, sebagai pelajar, dia harus bijak berbelanja kerana kos sara hidup di perantauan agak tinggi berikutan bapanya telah bersara dan perlu menanggung seorang lagi adik yang sedang belajar di tingkatan lima.

“Bantuan yang diberikan oleh YWP ini memang dapat membantu meringankan beban saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk menerima skim ini.

“Meskipun perlu menunggu selama empat bulan selepas membuat permohonan, saya gembira kerana ia diluluskan dan sedikit sebanyak membolehkan saya menumpukan perhatian kepada pelajaran tanpa perlu memikirkan kos sara hidup,” katanya kepada Wilayahku.

Tambah Sharmila, bantuan seumpama ini wajar diperluaskan kerana ia dapat membantu golongan pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah untuk mencapai cita-cita bergelar siswazah satu hari nanti.

AINITA

Bagi Ainita Rahifudin, 19, yang juga penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, bantuan dermasiswa yang diterimanya membolehkan dia untuk belajar lebih selesa tanpa perlu memikirkan perbelanjaan sepanjang berada di kampus.

“Sebelum ini saya turut menerima Skim Bantuan Awal IPT daripada YWP. Jadi dengan memperolehi skim dermasiswa, saya sangat bersyukur berikutan proses yang agak lama dan akhirnya penantian ini berbaloi selepas dihubungi wakil YWP untuk hadir bagi menerima dermasiswa ini,” katanya.

Jelasnya, bantuan ini akan digunakan sebagai elaun bulanan bagi mengurangkan bebanan keluarga dan pelajar sepertinya tidak perlu khuatir kerana bantuan ini mencukupi sekiranya digunakan secara berhemah.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed dalam ucapannya berkata, setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM2,000 sehingga RM3,000 secara one-off.

“YWP tidak hanya membantu meringankan beban keluarga pelajar tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah nasib seseorang, keluarga dan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas