Selebriti

Mamat Khalid meninggal dunia

- Diterbit 23 Oktober 2021 5:38 PM MYT

PENGARAH, penerbit dan pelakon Mamat Khalid,58, disahkan telah meninggal dunia di Hospital Slim River, Perak, sebentar tadi.

Difahamkan Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung.

Berita kematian itu turut dikongsi oleh pelakon terkenal Zul Ariffin.

“Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga arwah abang Mamat Khalid. Sesiapa yang kenal dan pernah tengok watak Encik Solihin, mohon sedekahlah Al-Fatihah.

Thanks bang hiburkan hati arwah mak saya kat set, bagi dia senyum kat set walaupun ketika tu hati anak dia rabak tapi masih kuatkan diri untuk teruskan kerja untuk karya abang,” tulisnya di akaun Instagram miliknya.

Berita sedih ini turut disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman, Hafiz Nafiah.

Menurut Hafiz, Allahyarham difahamkan pengsan di restorannya, Sarang Art Hub sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia dalam ambulans.

Maklumat awal yang Seniman perolehi, jenazah akan dikebumikan di Ipoh esok.

Allahyarham yang juga adik kepada kartunis terkenal Negara iaitu Datuk Lat, meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.

Antara karya hebat pengarah terkenal itu adalah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas