Berita

Malaysia ulangi desakan gencatan senjata serta-merta di Gaza

- Diterbit 22 Januari 2024 11:10 AM MYT

MALAYSIA akan mendesak gencatan senjata serta-merta, menentang perpindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa, dan menegaskan kepentingan hantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan untuk menangani pembinasaan manusia di Gaza.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Menteri Lua Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengulangi desakan tersebut di Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan (PBB) berhubung situasi di Asia Barat termasuk Palestin di New York, Amerika Syarikat (AS) esok.

“Malaysia akan mendesak supaya Israel bertanggungjawab ke atas tindakannya yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Menteri Luar akan mengesyorkan supaya Palestin secara rasminya diiktiraf sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan keahlian penuh untuk memajukan perjuangan hak mutlak mereka bagi menentukan nasib sendiri dan kemerdekaan serta kedaulatan yang sudah lama dinafikan, berdasarkan sempadan pra 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, ” katanya hari ini.

Tambahnya, Menteri Luar Negeri dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, TYT Antonio Guterres dan menyatakan sokongan Malaysia kepada seruan terkini beliau untuk bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dengan cepat, selamat, menyeluruh, berterusan dan tanpa halangan.

“Malaysia juga menyatakan sokongan kepada PYT Sigrid Kaang dalam menunaikan tanggungjawab beliau sebagai Koordinator Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula Gaza yang baharu.

“Malaysia memperakui usaha-usaha di peringkat multilateral yang dilakukan untuk memberi tumpuan berterusan kepada situasi di Palestin,” jelasnya.

Katanya, mendukung suara rakyat Malaysia, Menteri Luar Negeri juga akan menyerahkan poskod khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota-anggota Kabinet kepada Setiausaha Agung PBB supaya menerima Palestin sebagai Negara Anggota PBB dengan keahlian penuh dan pada masa sama menggesa gencatan senjata serta-merta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas