MALAYSIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meletakkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha jitu Kerajaan MADANI untuk membina komuniti yang lebih selamat dan terjamin.
Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan fokus untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia menerusi peluang pelaburan asing khususnya menerusi inisiatif Kecerdasan Buatan Malaysia Madani (MMAI).
“Perkongsian antara Malaysia dan UAE akan memanfaatkan kuasa transformatif kecerdasan buatan, analisis data lanjutan dan pengkomputeran berprestasi tinggi untuk memerangi jenayah, menghalang keganasan dan meningkatkan keselamatan awam.
“Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memanfaatkan teknologi sebagai kuasa untuk kebaikan, melindungi nyawa, memajukan inovasi dan menyampaikan perubahan yang bermakna,” katanya dalam hantaran di laman Facebook ketika melakukan lawatan kerja dan menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW).
Perdana Menteri berkata, memandangkan Malaysia mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN dan UAE berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 2025, kerajaan bersetuju untuk memanfaatkan platform seperti Forum Ekonomi ASEAN-GCC bagi mengukuhkan kerjasama kerajaan dan sektor swasta dalam AI.
“Usaha ini akan menghubungkan pembuat dasar serantau, peneraju industri dan inovator untuk menangani cabaran global yang kompleks. Bersama-sama, kedua-dua negara kita menetapkan standard global untuk menggunakan teknologi untuk memajukan keselamatan, inovasi dan kemakmuran bersama,” kata beliau.
Beliau sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani MoU oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi. – WILAYAHKU