Berita

Malaysia tumpas di tangan UAE

- Diterbit 4 Jun 2021 12:27 AM MYT

 

KUNJUNGAN skuad kebangsaan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali lagi berakhir dengan keputusan memalukan, selepas tewas 0-4 kepada pasukan tuan rumah pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, awal pagi ini.

Gandingan penyerang prolifik Ali Mabkhout dan Fabio De Lima, masing-masing meledak dua gol untuk melengkapkan kejayaan UAE di Stadium Zabeel, Dubai, sekali gus melakar kemenangan kedua skuad ‘The Whites’ itu ke atas skuad kebangsaan, dalam saingan kempen kelayakan itu.

Pada aksi tersebut, Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe bukan sahaja melihat skuad Harimau Malaya terbaiknya yang dibarisi pemain naturalisasi dan pemain kacukan terbaru negara bergelut dengan tahap kecergasan, malah mereka gagal mencapai keserasian sepanjang 90 minit permainan.

Perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan jelas dapat dilihat, apabila skuad kebangsaan lebih pasif seawal minit pertama permainan, berbanding UAE yang tampil lebih berkeyakinan di segenap bahagian dengan menyajikan permainan tersusun.

Aksi longlai skuad kebangsaan itu dihidu UAE, untuk mencipta beberapa gerakan menarik sehingga memaksa penjaga gol Mohd Farizal Marlias bekerja keras menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, termasuk menepis rembatan Khalil Ibrahim pada minit ketujuh, dalam situasi satu lawan satu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas