Berita

Malaysia tingkatkan kerjasama pertahanan dengan negara asing tahun 2025

- Diterbit 18 Disember 2024 9:30 AM MYT

KERJASAMA pertahanan di antara Malaysia dengan Jerman telah terjalin sejak tahun 1979 melalui satu perjanjian keselamatan antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Jerman bagi pertukaran maklumat
terkelas berkaitan pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua buah negara.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan perolehan dua buah Korvet kelas Kasturi dan disusuli dengan satu lagi perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Jerman pada tahun 1983 bagi membolehkan Tentera Laut Jerman melatih pegawai dan anggota TLDM pada tahun 1981.

“Pejabat Penasihat Ketenteraan Jerman telah dibuka di Kedutaan Jerman di Malaysia pada tahun 2019 setelah sekian lama beroperasi dari Kedutaan Jerman di Jakarta, Indonesia.

“Semenjak pembukaan pejabat berkenaan, aktiviti kerjasama pertahanan dua hala meliputi kesemua cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Pertahanan Malaysia telah menunjukkan peningkatan.

“Hubungan ini diperkukuhkan lagi dengan lawatan rasmi Menteri Pertahanan ke Jerman pada Februari 2024 yang merangkumi pertemuan bilateral dengan rakan sejawatnya dan penyertaan dalam Munich Security Conference,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.

Pada masa yang sama, Mindef berkata Malaysia meneruskan kerjasama pertahanan dua hala dengan negara-negara jiran di Asia Tenggara serta negara-negara rakan luar rantau seperti Australia, China, India, Itali, Jepun, Perancis dan Rusia.

“Malaysia juga dalam usaha meningkatkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara berkepentingan seperti Amerika Syarikat, Kuwait, Mesir, Republik Korea dan Qatar melalui instrumen perundangan seperti Memorandum Persefahaman yang dirancang untuk dimeterai pada tahun hadapan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas