MALAYSIA tidak pernah mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, berdasarkan Peta 9-Garis (Nine Dash Line map), konsep Empat-Sha atau mana-mana peta diterbitkan China yang meliputi kawasan maritim negara ini.
Perkara itu ditegaskan Kementerian Luar Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menurut kementerian itu, kerajaan tegas menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa China ke atas fitur maritim atau kawasan maritim di Laut China Selatan, yang meliputi kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
“Hal demikian kerana ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982,” katanya.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai pendirian Malaysia terhadap kapal-kapal Pengawal China yang dikesan memasuki perairan negara di Laut China Selatan.
Kementerian Luar Negeri menambah, kerajaan secara konsisten telah dan akan mengemukakan Nota Bantahan kepada negara-negara yang berkenaan, sekiranya kapal dan aset-aset milik kerajaan negara-negara tersebut didapati menceroboh perairan negara ini.
Katanya, ini adalah selari dengan pendirian tegas negara dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara.
“Hal ini juga selaras pendirian tegas negara yang mana semua pihak perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif.
“Kita juga mengamalkan pendekatan self–restraint, dan mengelak tindakan berkaitan ketenteraan atau militarisation,” katanya.
Tambah kementerian itu, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
“Semua agensi penguatk uasa dan pemantauan maritim negara amat komited dalam tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU