Berita

Malaysia tidak boikot Sidang APEC 2024

- Diterbit 6 November 2023 4:06 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tidak memboikot sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat yang dijadual bermula pada 11 hingga 17 November depan.

Katanya, keputusan tersebut dibuat berikutan banyak negara yang akan turut menghadiri sidang tersebut.

“Tidak (boikot) kerana kebanyakan negara akan menghadiri sidang tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malaysia Digital Expo di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China bagi mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot kehadiran pada sidang APEC atau tidak.

Katanya, selepas memperoleh semua maklumat, pihaknya akan membuat keputusan berkenaan seiring dengan negara Asia lain.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC nanti sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Sebelum itu, Anwar dilaporkan akan mengetuai delegasi Malaysia ke APEC.

Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar, turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS Joe Biden itu.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas