MALAYSIA tidak membenarkan pengimportan e-waste berdasarkan kepada polisi semasa negara dan Ban Amendment di bawah Konvensyen Basel.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia secara jelas melarang negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengeksport sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun.
Jelas beliau, berdasarkan Op Hazard yang dilaksanakan serentak di seluruh negara dengan kerjasama polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 47 premis diperiksa dan 15,764.90 tan e-waste bernilai RM55 juta disita.
“Pemeriksaan mendapati bahawa 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis merupakan premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan satu gudang haram.
“Lokasi premis tersebut berada di kawasan industri dan terdapat juga di luar kawasan industri seperti di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan. Premis-premis ini kebanyakannya beroperasi secara haram dan tidak dilesenkan oleh PBT,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan mengenai tindakan tegas yang telah diambil oleh kementerian dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara.
Nik Nazmi berkata, operasi kilang-kilang ini didalangi oleh warganegara asing yang menggunakan tenaga kerja daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang menyalahgunakan permit kerja.
Kesemua premis yang terlibat katanya, telah disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127), yang merangkumi pelbagai
kesalahan, antaranya Seksyen 16 (gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan) dan Seksyen 18 (menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen JAS).
“Sehubungan itu 37 premis telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.
“Selain itu sebanyak 59 Notis Arahan dan 27 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Sebanyak 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah,” katanya.
Jelas beliau, di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974, sebarang penempatan buangan terjadual, sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia serta aktiviti transit atau membenarkan e-waste ditransit tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar, adalah satu kesalahan.
Jika sabit kesalahan katanya, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda maksimum RM10 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun, berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024. – WILAYAHKU