Berita

Malaysia terus sokong Palestin biarpun terima 3 notis dari AS

ANWAR pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMTQ) di Dewan Rakyat baru-baru ini.
- Diterbit 2 November 2023 10:15 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY & SYED HAZIQUE

MALAYSIA dikenakan tiga notis tata tindak daripada Kedutaan Amerika Syarikat berhubung keengganan negara mengisytiharkan Hamas sebagai pengganas.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas beliau, sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, Malaysia berhak untuk menyuarakan pandangan negara dalam isu-isu semasa khususnya yang melibatkan hak kemanusiaan sejagat.

“Seperti yang saya jelaskan semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada 24 Oktober 2022, Selasa lepas, ini bukanlah isu negara Arab semata-mata tetapi isu kemanusiaan yang wajar disuarakan dan dipertahankan oleh seantero masyarakat dunia.

“Meskipun kebarangkalian bakal berdepan dengan teguran atau amaran daripada mana-mana pihak, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan.

“Elemen-elemen di atas boleh datang dalam pelbagai keadaan dan cara, sama ada tersurat mahupun tersirat,” katanya di Parlimen baru-baru ini.

Tambah beliau, Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dan ditekan mengenai pendirian negara berkenaan isu Palestin.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tarikh satu lagi notis rasmi yang dihantar terus kepada duta besar Malaysia di Washington.

“Oleh kerana keengganan kita untuk membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas, saya mendapat maklumat, Kementerian Luar menerima demarche iaitu tata tindak daripada Kedutaan AS sebanyak dua kali iaitu pada 13 dan 30 Oktober lalu serta sekali (satu lagi notis) kepada duta besar.

“Ia disebabkan pendirian kita terutama keengganan kita menganggap Hamas itu sebagai badan pengganas.

“Saya sudah menjawab dalam majlis (solidariti Palestin) baru-baru ini, saya tegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian bebas kita dengan pertimbangan kemanusiaan dan menganggap pencerobohan itu satu kesalahan.

“Malah ia juga terbukti salah dari segi undang-undang dan kaedah antarabangsa kerana perkara ini sudah berlarutan sejak 1948,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas