Berita

Malaysia terus bersolidariti bersama Palestin, tidak gentar diugut

ANWAR di tengah-tengah lautan orang ramai yang membanjiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.
- Diterbit 26 Oktober 2023 11:30 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY & SYED HAZIQUE

DUNIA sedang bergolak berkenaan isu negara Palestin yang dibedil dari setiap sudut daripada negara pemberontak demi mempertahankan tanah airnya dari terus dijajah.

Banyak negara kini bersolidariti bersama Palestin untuk terus bangkit memperjuangkan hak mereka.

Termasuklah negara Malaysia hampir semua warganegara menyatakan membantah sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan rejim Zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara Malaysia akan terus memperjuangkan hak kebebasan rakyat Palestin walaupun diancam dengan pelbagai ugutan.

Beliau turut mendedahkan Malaysia mula diserang oleh beberapa negara kuasa besar ekoran membela nasib Palestin.

“Malaysia akan kekal bebas dan akan terus mempertahankan kebebasan negara.

“Malaysia negara yang bebas dan merdeka, dan akan kekal sebagai negara yang berdaulat, yang akan perjuangkan kebebasan serta hak rakyat Palestin.

“Saya telah terima banyak teguran dan ugutan. Tetapi saya sebut, kamu salah pilih orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.

Sementara itu dianggarkan lebih 16,000 orang hadir dari seluruh negara bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel sejak beberapa minggu lalu.

Anwar turut menegaskan, negara Malaysia tidak sesekali gentar dengan ugutan dan tekanan yang dilemparkan oleh negara-negara luar.

“Saya dikritik, mula diserang beberapa kalangan negara barat seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Israel. Waspada saya beritahu, selagi saya diberi mandat oleh rakyat saya tidak terima ugutan itu, kita lawan tetap lawan,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan kekesalan banyak negara menutup mata dengan tindakan barbarian regim Israel yang telah melampaui batas kemanusiaan.

Anwar mempersoalkan pendirian dan perjuangan sebahagian negara Barat berkait soal hak asasi, kebebasan dan demokrasi yang seringkali dimainkan negara rantau berkenaan, namun dalam isu tertumpu Palestin mereka bagai membutakan mata, membisukan mulut dan memekakkan telinga.

Justeru, Anwar tidak menolak keadaan Gaza akan bertukar lebih buruk apabila tentera Israel akan terus ‘menggila’ dengan melakukan pencerobohan secara semberono terhadap tanah milik Palestin itu dengan sokongan negara blok terbabit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas