Berita

Malaysia teroka AI dan blockchain dalam pemantauan halal global

- Diterbit 5 Mac 2025 2:15 PM MYT

KERAJAAN sedang meneliti potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi blockchain bagi memperkukuh pemantauan pematuhan badan pensijilan halal luar negara secara masa nyata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata langkah itu sejajar dengan usaha memastikan semua produk import memenuhi standard halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum memasuki pasaran tempatan.

“AI membolehkan data pematuhan dianalisis secara automatik, mengenal pasti ketidakkonsistenan dalam pensijilan serta mengeluarkan amaran awal terhadap sebarang ketidakpatuhan.

“Teknologi blockchain pula memastikan setiap peringkat rantaian bekalan halal direkod dan disahkan dengan telus serta tidak boleh diubah, menjadikan pemantauan lebih cekap dan berintegriti,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, JAKIM dan agensi berkaitan juga berpotensi bekerjasama dengan badan pensijilan halal antarabangsa bagi mengintegrasikan sistem berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemantauan halal global berasaskan teknologi.

Mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam pembangunan AI sebagai rujukan hukum Islam di peringkat antarabangsa, Mohd Na’im berkata, negara ini mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan sistem digital seperti IslamGrid dan i-Fiqh.

“Kerajaan boleh memperkasa infrastruktur digital sedia ada dengan mengadaptasi teknologi AI bagi menyediakan jawapan pantas, berasaskan fatwa sahih serta selari dengan maqasid syariah.

“JAKIM juga boleh membangunkan AI fiqh yang mampu menyesuaikan jawapan mengikut mazhab dan konteks setempat, sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai pusat rujukan AI Islam yang kredibel,” katanya.

Katanya, usaha itu boleh direalisasikan melalui kerjasama dengan institusi agama, pakar teknologi dan akademia bagi memastikan AI yang dibangunkan mempunyai ketepatan hukum, keandalan data serta pematuhan syariah.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na’im berkata, Malaysia terus menunjukkan penglibatan aktif dalam industri halal di peringkat antarabangsa melalui Standard Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC).

“Malaysia merupakan ahli Board of Directors (BOD), Technical Committee (TC) dan Working Group (WG) dalam SMIIC, dengan penyertaan aktif dalam pembangunan 17 standard halal antarabangsa setakat ini.

“Selain itu, JAKIM mengiktiraf 85 badan pensijilan halal luar negara (Foreign Halal Certification Body – FHCB) dari 45 negara, membuktikan standard Malaysia diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Beliau turut memetik laporan State of the Global Islamic Economy Report 2023 yang menobatkan Malaysia sebagai negara nombor satu dunia dalam industri makanan halal.

“Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) dikenali di peringkat antarabangsa sebagai ‘Gold Certificate’ kerana ia membolehkan produk yang mendapat sijil ini dieksport ke seluruh dunia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas