Berita

Malaysia terikat dengan Piawaian Antarabangsa perlu laksanakan caruman pekerja asing

Gambar hiasan
- Diterbit 4 Mac 2025 11:30 AM MYT

KERAJAAN menegaskan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2 peratus bagi pekerja asing adalah selaras dengan piawaian antarabangsa, khususnya Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO), yang turut diamalkan oleh hampir 70 negara lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini bertujuan memastikan pekerja asing mempunyai simpanan tetap yang boleh dikeluarkan selepas tamat tempoh pekerjaan mereka di Malaysia.

“Strategi utama kita tetap menumpukan kepada kebajikan pekerja tempatan. Namun, dengan caruman minimum ini, kerajaan dapat merekod jumlah pekerja asing yang sah dan mengawal sistem pekerjaan mereka secara lebih sistematik.

“Selain itu, sistem ini menggunakan institusi kewangan termasuk KWSP dan perbankan untuk memastikan pengurusan caruman lebih cekap,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kadar caruman 2 peratus adalah kadar minimum yang tidak akan membebankan majikan selain ia berbeza dengan kebanyakan negara lain yang meletakkan kadar lebih tinggi.

Beliau turut menjawab kebimbangan bahawa caruman pekerja asing boleh mengalihkan perhatian KWSP daripada memberi keutamaan kepada pekerja tempatan, Anwar menegaskan bahawa langkah-langkah baharu telah diperkenalkan bagi meningkatkan simpanan rakyat Malaysia.

“Kita telah memperkenalkan caruman sukarela pada tahun 2024, yang membolehkan pekerja sendiri menyimpan untuk masa depan mereka. Setakat ini, seramai 1.2 juta ahli telah membuat caruman sukarela yang memberi manfaat besar kepada mereka.

“Kita juga ada skim i-Saraan dan i-Suri yang memberi perlindungan kepada pekerja dalam sektor informal serta golongan suri rumah, dengan insentif kerajaan berjumlah RM4.16 juta,” katanya.

Sementara itu, KWSP baru-baru ini mengumumkan kadar dividen tertinggi dalam tujuh tahun, iaitu 6.3 peratus bagi kedua-dua simpanan konvensional dan syariah.

Anwar menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negara serta kecekapan pengurusan KWSP.

“Setakat Disember 2024, sebanyak 63 peratus pelaburan KWSP tertumpu kepada pasaran domestik, berjumlah RM782 bilion, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Selain itu, Bursa Malaysia turut mencatat peningkatan sebanyak 12.9 peratus, sekali gus mencerminkan keyakinan pasaran terhadap dasar ekonomi yang kita perkenalkan, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mencatat 5.1 peratus bagi tahun 2024 membuktikan asas ekonomi negara kekal kukuh dan selari dengan matlamat Kerajaan Madani untuk memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas