Berita

Malaysia terajui Jawatankuasa Audit ASEAN, pacu tadbir urus telus serantau

Ketua Audit Negara Malaysia, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi
- Diterbit 13 Jun 2025 2:00 PM MYT

MALAYSIA mengukuhkan peranannya sebagai peneraju ketelusan serantau apabila mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Audit ASEAN ke-50 (ASEAN Audit Committee – AAC) di Jakarta hari ini, selari dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi tahun 2025.

Mesyuarat penting ini dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara Malaysia, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dan disertai oleh wakil-wakil tertinggi jabatan audit dari kesemua 10 Negara Anggota ASEAN.

Ketua Audit Negara Malaysia, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Audit Negara, mesyuarat AAC ini merupakan lanjutan kepada kejayaan Persidangan Juruaudit ASEAN yang berlangsung di Putrajaya pada 27 hingga 28 Mei lalu yang turut menampilkan Perdana Menteri dan Setiausaha Agung ASEAN sebagai pembicara utama.

Mesyuarat AAC memainkan peranan penting dalam memperkukuh kawalan tadbir urus ASEAN menerusi semakan terhadap penyata kewangan beraudit, penilaian operasi, sistem pengurusan risiko dan laporan audit dalaman. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha mempertingkat akauntabiliti dan kecekapan pengurusan kewangan ASEAN.

Sebagai pengerusi, Malaysia menggariskan iltizam yang tinggi untuk memacu agenda integriti serantau, selaras dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang diangkat dalam Kepengerusian ASEAN 2025.

“Malaysia komited memainkan peranan aktif bagi memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan daya tahan institusi ASEAN menerusi tadbir urus yang mantap,” menurut kenyataan itu.

Hasil perbincangan dari mesyuarat ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Wakil-Wakil Tetap ke ASEAN (CPR) dalam sesi mesyuarat akan datang, bagi memperkukuh lagi dasar dan rangka kerja pengurusan Sekretariat ASEAN.

Langkah ini mengesahkan komitmen Malaysia untuk mengangkat prinsip ketelusan dan integriti sebagai tunjang kekuatan ASEAN, bukan sahaja dari segi pembangunan sosioekonomi, malah dari sudut ketahanan institusi dan kepercayaan awam.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas