Berita

Malaysia sumbang sebahagian aset Hospital Medan kepada kerajaan Turkiye

- Diterbit 21 Mac 2023 12:45 PM MYT

MALAYSIA akan menyumbangkan sebahagian daripada aset-aset Hospital Medan Malaysia (HMM) kepada Kerajaan Turkiye bagi membantu pemulihan perkhidmatan kesihatan di negara itu.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Nasional Turkiye Hulusi Akar, di Kementerian Pertahanan Nasional, Ankara.

Mohamad berada di Turkiye bagi lawatan rasmi tiga hari ke republik itu bermula Ahad lepas (19 Mac).

“Semasa pertemuan itu, Yang Berhormat Menteri Pertahanan telah merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga serta rakyat Republik Turkiye yang terjejas kehidupan akibat bencana gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang telah melanda negara itu pada 6 Feb lepas.

“Menteri Pertahanan turut menzahirkan solidariti Malaysia bersama Turkiye yang sedang menghadapi keadaan mencabar masa ini dan komitmen Malaysia bagi membantu negara berkenaan dan rakyatnya,” menurut kenyataan itu.

Pada 6 Feb lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye dan barat laut Syria dan kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Kenyataan itu juga menyebut kedua-dua pemimpin berkenaan menyatakan komitmen meningkatkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye, khususnya dalam bidang ketenteraan serta bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.

Pertemuan itu turut membincangkan perolehan sedia ada dan akan datang melalui mekanisma kerajaan dengan kerajaan (G2G), selain Mohamad turut memanjangkan jemputan kepada Akar untuk menghadiri Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA 2023), Mei ini.

Pada lawatan itu Mohamad turut melawat HMM di Celikhan, Adiyaman dan diberi taklimat oleh Brig Jen Datuk Dr Amran Amir Hamzah mengenai HMM sejak hospital berkenaan ia mula beroperasi pada 15 Feb lepas yang telah memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat dan kawasan berdekatan.

Mohamad juga bertemu dengan Presiden Agensi Industri Pertahanan dan diberi taklimat bagaimana Turkiye membangunkan industri pertahanan dengan jayanya, seterusnya menjadi antara pemain industri utama dunia.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa kerjasama industri pertahanan perlu ditingkatkan melangkaui perolehan aset-aset ketenteraan, dan komited untuk meneroka peluang kerjasama lain yang saling memanfaatkan kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Lawatan Mohamad ke Turkiye merupakan satu aktiviti di bawah Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa, seperti yang digariskan Kertas Putih Pertahanan (KPP) serta tanda solidariti kepada rakyat negara itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas