Berita

Malaysia sertai Sidang Kemuncak BRICS di Russia

- Diterbit 22 Oktober 2024 5:57 PM MYT

PENYERTAAN Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Russia mampu mengukuhkan komitmen negara untuk memperdalam hubungan dengan negara-negara anggota gagasan tersebut.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penglibatan aktif pada sidang kemuncak dua hari bermula esok itu membolehkan Malaysia menghadapi landskap ekonomi global yang kompleks dengan penuh ketahanan.

Bersempena lawatan kerjanya ke Kazan bagi menghadiri sidang kemuncak itu, katanya, ia turut disertai pegawai kanan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Luar Negeri bagi menegaskan komitmen teguh Malaysia memupuk kerjasama dan dialog global.

Menurut beliau, sidang kemuncak itu bertemakan ‘BRICS dan Selatan Global: Bersama-sama Membangun Dunia yang Lebih Baik’ dan diadakan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16.

“Ia akan menghimpunkan ketua negara dan kerajaan serta menteri-menteri daripada sembilan negara anggota BRICS bersama wakil-wakil 20 negara jemputan bukan BRICS,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Rafizi memberitahu, semasa persidangan itu, beliau dijadual menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada 24 Oktober ini.

Katanya, kenyataan tersebut akan menekankan isu-isu kritikal untuk Selatan Global termasuk pembangunan mampan, pembaharuan sistem tadbir urus global dan situasi geopolitik yang sedang berkembang di Asia Barat.

“Lawatan kerja ini juga akan merangkumi pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara jemputan lain di sela-sela persidangan.

“Ia juga menyediakan platform strategik bukan sahaja untuk meneroka potensi peranan Malaysia dalam BRICS, tetapi juga untuk memperjuang kerjasama ekonomi, memupuk kemakmuran dan menggalakkan pembangunan inklusif bagi Selatan Global,” katanya.

Selatan Global adalah istilah digunakan untuk menggambarkan negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia dan Oceania.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Jun lalu mengesahkan telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang pada mulanya terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Pada Januari lepas, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima sebagai anggota baharu kumpulan BRICS tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas