MENTERI Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memberi jaminan proses vaksinasi akan dipercepat.
Dalam mesej kepada orang ramai melalui rakaman video, Khairy berkata pihaknya telah membuat rundingan semula bagi menyegerakan jadual penghantaran vaksin.
Menurutnya sebanyak 12 juta dos bagi keseluruhan tempahan vaksin Sinovac akan sampai menjelang penghujung Julai manakala 25 juta dos Pfizer pada suku ketiga tahun ini.
Pada masa sama, beliau memberitahu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang membuat penilaian terhadap vaksin satu dos CanSino.
“Kita telah meningkatkan kapasiti jumlah pemberian dengan ketika ini 100,000 dos sehari telah diberi. Kami mahu meningkatkan kepada dua kali ganda menjelang bulan Julai.
“Saya memahami kegusaran orang ramai yang menanti giliran untuk menerima vaksin. Peningkatan jumlah kes membuatkan keadaan semakin mendesak.
“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan terus menyegerakan kadar pemberian vaksin bagi memastikan kita dapat melindungi seberapa ramai individu secepat yang mungkin,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pelbagai usaha sedang dijalankan bagi memastikan proses pemberian vaksin dilaksanakan pada kadar lebih pantas.
Katanya, ia termasuk menambah pusat pemberian vaksin (PPV) mega yang boleh mencecah antara 5,000 sehingga 10,000 dos vaksin sehari.
Selain itu, kata beliau, bilangan klinik perubatan am (GP) swasta yang dijadikan PPV juga akan ditambah kepada 1,000 klinik menjelang akhir Jun di samping hospital swasta.
“Pasukan jangkauan bergerak juga telah diwujudkan di peringkat negeri yang menjalankan proses vaksinasi ke rumah orang tua dan orang kurang upaya (OKU); kampung; golongan gelandangan; orang asli dan kawasan pedalaman bagi memastikan tiada siapa yang tidak menerima vaksin.
“Saya juga akan melawat setiap negeri untuk bekerjasama bagi mempercepatkan proses vaksinasi selain memulakan program vaksinasi kepada sektor ekonomi dan industri yang masih dibuka semasa tempoh PKP.
“Perkara ini penting kerana kita tahu virus ini tersebar dengan pantas. Orang ramai yang bekerja perlu divaksinasi bagi melindungi mereka dan orang lain,” jelas beliau.
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut mengambil langkah menyegerakan pemberian vaksin kepada masyarakat dengan menggunakan trak bergerak yang akan datang ke PPR/PA di Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak lama lagi.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Wilayah Persekutuan akan menggunakan segala daya usaha untuk menyegerakan proses vaksinisasi.
Sebelum ini beliau mengumumkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Wilayah Persekutuan selepas 360 klinik swasta sudah mendaftar bagi tujuan tersebut.
Selain itu, KWP turut menyediakan sebanyak 40 buah trak bergerak untuk membantu menjayakan program vaksinisasi berkenaan.
“Sebanyak 360 klinik swasta dalam Wilayah Persekutuan sudah mendaftar untuk dijadikan PPV dan 273 daripadanya sudah menerima surat anugerah (LOA).
“Selain itu, 40 ‘mobile trucks’ sedang dipersiapkan. Sasaran untuk capai tiga kali ganda kadar sekarang. Semoga ALLAH permudahkan,” kata Annuar menerusi Twitternya pada Sabtu– WILAYAHKU