Oleh AZLAN ZAMBRY & SYED HAZIQUE
PENDIRIAN tegas yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan Palestin mendapat perhatian seluruh dunia termasuk kuasa besar Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan tidak senang dengan tindakan tersebut hingga mengeluarkan tiga demarche berhubung konflik tersebut.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nizamuddin Alias berkata secara mudahnya demarche bermaksud tata tindak dalam konteks diplomasi yang dikeluarkan oleh diplomat.

“Ia lazimnya mengandungi kenyataan atau bantahan kepada satu pihak yang lain dan setakat ini dapat dijangkakan tiada sebarang perubahan kepada dasar luar Malaysia sekalipun pihak AS berpihak kepada Israel,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.
Menjelas lanjut, Nizamuddin berkata kenyataan dan tindakan Perdana Menteri mengelilingi negara-negara Arab baru-baru ini menandakan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri dengan penderitaan rakyat Palestin sekali gus menandakan pendirian tegas Malaysia.
“Tindakan tersebut adalah pendirian yang biasa dikeluarkan oleh Malaysia sejak dahulu. Namun berkemungkinan Perdana Menteri dilihat bersungguh-sungguh dalam mempertahankan Palestin menyebabkan reaksi kurang senang ini ditunjukkan oleh beberapa pihak yang menyokong tindakan dan kekejaman yang dilakukan Israel.
“Kita juga sedia maklum bahawa tidak sekadar demarche bahkan Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz juga telah dipanggil oleh Jabatan Negara AS berhubung pendirian tegas Malaysia,” katanya.
Jelasnya, meskipun nota bantahan dan tindakan memanggil Duta Malaysia ke AS, ia berkemungkinan tidak akan menjejaskan hubungan bilateral di antara Malaysia dan AS yang terjalin selama ini.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan keadaan yang sedemikian berlaku. Dalam konteks Undang-undang Antarabangsa serta Hubungan Antarabangsa, Malaysia dan AS adalah negara berdaulat.
“Kedua-dua negara memiliki wewenang untuk menentukan corak dasar luar mereka. Ia semestinya bersesuaian dengan kepentingan masing-masing dan biasanya ditentukan oleh sejarah, geografi dan geopolitik kedua-dua negara.
Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan kalau pendekatan dan tindakan yang diambil tidak sama,” katanya.
Ujar beliau, melalui perkembangan yang berlaku, setakat ini ia tidak mempengaruhi pelaburan luar ke dalam negara kerana ia boleh meningkat atau mengurang atas pelbagai sebab dan bukannya hanya keretakan hubungan diplomatik semata-mata.
Terdahulu, Mohamed Nazri menjelaskan beliau dipanggil pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap kenyataan-kenyataan Perdana Menteri yang mengecam Israel dan melabelkan rejim Zionis itu sebagai pengganas dan meminta agar Malaysia membuat kenyataan turut bersimpati terhadap Israel.

Dalam pada itu, penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media (CMIWS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata tiga notis tata tindak diterima Malaysia daripada Amerika Syarikat (AS) membuktikan keberadaan suara rakyat dan kerajaan negara ini dalam mempertahankan hak asasi warga Palestin mendapat perhatian kuasa besar dunia.
Tambah Noor Nirwandy, perkara itu dijangka berlaku dan dianggap tekanan diplomasi kerana tindakan Perdana Menteri terhadap konflik yang berlaku ke atas kedua-dua negara itu.
“Sebagai satu negara kuasa besar yang menyokong rejim Zionis, sudah pastinya AS mahu negara-negara yang mempunyai hubungan dengan mereka mahu bersama menyokong.
“Namun, sepatutnya AS menghormati pendirian negara kita yang menyokong perjuangan Hamas, setiap negara mempunyai pandangan yang berbeza, dan mereka (AS) harus bersikap diplomasi berhubung isu kemanusiaan ini,” katanya.
Ketika ditanya apakah akan merenggangkan hubungan diplomatik bersama AS atau negara-negara lain, jawab beliau, sudah semestinya akan tercalar sedikit, namun, perhubungan dua hala yang telah lama dibina haruslah dihormati kesemua negara.
“Sudah semestinya perkara sebegini akan sedikit merencatkan hubungan dengan terutamanya negara AS, namun, jangan gusar, mereka juga harus menghormati perhubungan yang sudah terjalin sejak sekian lama ini, mereka harus bersikap diplomasi dalam perkara ini.
“Banyak pemimpin-pemimpin dunia bersuara lantang dalam menyuarakan pandangan mereka serta menyatakan sokongan, namun, secara konklusinya kita perlu mengenepikan soal politik dan terapkan fikiran wajar dalam soal hak kemanusiaan serta keadilan,” ujarnya.