MALAYSIA mencatatkan lonjakan 11 anak tangga dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025 untuk berada di kedudukan ke-23 daripada 69 negara, berbanding tempat ke-34 tahun lepas.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), ia pencapaian terbaik negara sejak 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan.
Katanya, ia sekali gus mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 seperti disasarkan Kerangka Ekonomi MADANI.
“Kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan,” katanya.
Laporan WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland bagi menilai keupayaan sesebuah negara mewujud dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan.
Pada tahun lalu, Malaysia jatuh ke tangga ke-34 dan berada di belakang Singapura, Thailand dan Indonesia.
Dengan laporan terbaharu ini, Singapura masih mengungguli kedudukan pertama dalam kalangan negara ASEAN diikuti Malaysia dan Thailand.
MITI memberitahu, WCR 2025 menyaksikan lonjakan Malaysia dalam faktor Prestasi Ekonomi sebanyak empat anak tangga ke kedudukan keempat terbaik berbanding tempat kelapan tahun lalu.
Faktor Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan pula kedua-duanya meningkat lapan anak tangga. – WILAYAHKU