Selebriti

MALAYSIA LIVE! Bantu penggiat seni beradaptasi dengan pandemik

- Diterbit 21 Januari 2021 8:28 AM MYT

SIRI konsert MALAYSIA LIVE! yang bakal bermula minggu ini bukan sekadar dapat menjana pekerjaan untuk penggiat seni yang terjejas akibat pandemik COVID-19, malah ia sekaligus percubaan penting industri seni beradaptasi dengan norma baharu dunia.

Objektif utama konsert secara maya ini adalah bagi membolehkan aktiviti dan perniagaan industri kreatif dimulakan semula demi kelangsungan pendapatan penggiat industri.

Dibarisi nama-nama besar dalam bidang muzik, antaranya Aizat Amdan, Dayang Nurfaizah, Hael Husiani, Noh Salleh, Yonnyboii, Faizal Tahir, Kmy Kmo & Luca Sickta, Datuk M. Nasir, Zizi Kirana dan Adibah Noor, siri konsert ini dirakam secara langsung tanpa penonton di KL Live @ Life Centre.

Bagi pengarah muzik, Datuk Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali sebagai Datuk Acis, industri muzik adalah salah satu industri paling terjejas kerana acara melibatkan khalayak ramai secara langsung tidak dapat dilaksanakan berikutan norma baharu.

“Dengan pengurangan atau kehilangan punca pendapatan dari sektor persembahan live, ada yang terpaksa mencari perkerjaan lain dan dalam senario terburuk mereka terpaksa menjual peralatan muzik yang sekian lama menjadi punca pencarian pendapatan.

“Dengan MALAYSIA LIVE! saya berharap ia akan memberi ruang untuk semua yang terkesan untuk mula menjana pendapatan dan bagi peminat muzik menyambung semula keistimewaan menonton acara secara live,” katanya dalam sebuah kenyataan.

MALAYSIA LIVE! adalah kerjasama antara Acis; Pam Shahril & Shahril Razak dari Gabung Cipta, sebuah syarikat pembekal sistem audio dan cahaya profesional; dan penerbit konsert, Jennifer Thompson.

Menurut Pam Shahril ramai pihak yang terlibat dalam menjayakan sesebuah acara seni.

“Orang ramai hanya melihat apa yang berada di atas pentas tetapi usaha untuk mengendalikan sesebuah acara melibatkan ratusan tenaga pakar termasuk jurutera, krew dan juga venue, katering, tiketing, keselamatan, syarikat logistik dan ramai lagi yang membentuk sebuah pasukan” jelasnya.

Selain itu, bagi pengarah konsert Jennifer Thompson, perubahan dalam industri hiburan adalah lumrah tetapi penggiat masih perlu memikirkan periuk nasi dan bil yang perlu dibayar, sambil menyesuaikan diri dalam perubahan yang drastik.

“Fokus utama adalah memastikan kita tidak kehilangan bakat dan kepakaran industri kepada perkerjaan lain.

“Harapan kita siri konsert ini akan berterusan supaya lebih ramai artis, pemuzik dan tenaga pekerja industri muzik dapat melibatkan diri dalam konsert seterusnya,” katanya.

MALAYSIA LIVE! mendapat sokongan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang memberi tumpuan penting untuk membantu pengiat dan perniagaan industri kreatif yang terkesan akibat pandemik.

Dua episod pengenalan siri konsert tersebut dapat ditonton di youtube channel MALAYSIA LIVE! bermula Januari 22 dan 29 pada pukul 9 malam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas