Berita

Malaysia kutuk keras serangan Israel ke atas sekolah di Gaza

Foto: XINHUA
- Diterbit 11 Ogos 2024 7:35 PM MYT

KERAJAAN Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab oleh rejim Israel terhadap Sekolah al-Tabin di Bandar Gaza semalam yang telah meragut nyawa lebih daripada 100 rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata serangan itu melibatkan ramai kanak-kanak dan mencederakan ramai lagi dengan parah sehingga kehilangan nyawa akibat kekurangan bekalan perubatan yang sangat diperlukan.

“Serangan yang disengajakan terhadap sekolah yang dijadikan tempat perlindungan oleh rakyat Palestin bukan sahaja merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia.

“Tetapi juga merupakan satu jenayah kemanusiaan yang tidak terampunkan,” katanya.

Kementerian Luar berkata rejim Israel sekali lagi dengan jelas menunjukkan ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian.

Kementerian itu berkata adalah amat melampau bagi masyarakat antarabangsa sepertinya tidak mengendahkan perbuatan keji Israel dalam pembunuhan wanita, kanak-kanak, dan warga tua tanpa sebarang hukuman.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keangkuhan rejim Israel.

“Janji-janji kosong kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung tidak boleh dipercayai,” katanya.

Kementerian Luar berkata Malaysia terus menyeru sekutu-sekutu rejim Israel agar memaksa Israel untuk segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Katanya, sekutu Israel juga perlu menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid ini diteruskan.

“Tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal.

“Ini memastikan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin dan membawa rejim Zionis ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan,” katanya.

Kementerian Luar berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dan bekerjasama dengan semua Negara Anggota PBB untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai 2024.

“Masa untuk bertindak adalah sekarang. Malaysia berdiri teguh dalam komitmennya terhadap keadilan dan keamanan, dan akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.

“Malaysia tidak akan berhenti sehingga Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ditubuhkan, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya yang sah, dan Palestin diiktiraf sebagai Negara Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas