MALAYSIA dan Kosovo menzahirkan komitmen tinggi untuk memperkukuhkan hubungan dua hala meliputi pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, pendidikan serta pertukaran budaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak melihat hubungan diplomatik dengan Kosovo sebagai hubungan biasa, sebaliknya sebagai ikatan persahabatan yang mendalam, berteraskan nilai-nilai sejagat seperti kemanusiaan, hak asasi dan kebebasan.
“Malaysia komited untuk melangkaui hubungan protokol biasa. Kita mahu menjalin kerjasama erat dalam pelaburan dan perdagangan, termasuk sektor halal yang diiktiraf dunia.
“Kita juga menghargai kedudukan strategik Kosovo yang rapat dengan Kesatuan Europa (EU),” katanya dalam sidang media bersama Presiden Kosovo, Vjosa Osmani di Putrajaya, hari ini.
Dalam pertemuan bersejarah itu, Malaysia turut menyambut baik penubuhan Kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur yang disifatkan sebagai mercu tanda baharu hubungan dua negara.
Sementara itu, Presiden Kosovo, Vjosa Osmani menyatakan penghargaan tidak terhingga kepada Malaysia yang menjadi antara negara pertama mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 2008, serta berdiri bersama rakyatnya sewaktu konflik kemanusiaan pada 1999.
“Malaysia adalah antara sahabat sejati yang berdiri bersama kami pada saat getir. Pengiktirafan Malaysia membawa harapan, solidariti dan keyakinan kepada masa depan kami,” katanya.
Presiden Osmani turut mengumumkan pengecualian visa oleh Malaysia kepada rakyat Kosovo sebagai tanda kepercayaan dan penghormatan terhadap hubungan dua hala yang semakin erat.
Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk memperluas kerjasama ekonomi dalam sektor utama seperti pertanian, tenaga, teknologi serta industri halal. Langkah ini diyakini mampu menjana peluang pekerjaan dan memperkukuh kehadiran perniagaan antara kedua-dua negara.
Dalam aspek keselamatan, Kosovo menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam menangani cabaran bersama termasuk keselamatan siber, anti-keganasan dan tindak balas bencana.
Presiden Osmani juga memuji sokongan Malaysia terhadap pelajar Kosovo, dengan ramai dalam kalangan mereka menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan.
“Pertukaran pelajar dan kerjasama antara universiti dianggap penting dalam membina persefahaman dan ketahanan generasi muda.
“Bila anak muda kita saling belajar antara satu sama lain, mereka bukan sekadar bina persefahaman, tapi juga ketahanan dan rasa hormat,” katanya.
Sebagai simbol penghargaan, Presiden Kosovo menganugerahkan Order of Independence, anugerah tertinggi negaranya, kepada Perdana Menteri atas sumbangan berterusan Malaysia terhadap kebebasan dan pembinaan negara Kosovo.
Presiden Osmani juga menjemput Perdana Menteri untuk mengunjungi Kosovo dalam masa terdekat, sebagai kunjungan balas kepada lawatan beliau.— WILAYAHKU