MALAYSIA akan berkongsi pendekatan yang akan diambil dalam menangani konflik di Myanmar menerusi sidang ASEAN Troika Informal Consultation and Extended Informal Consultation on Myanmar.
Sidang berkenaan diadakan di Bangkok, Thailand, hari ini.
Malaysia akan diwakili Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Wisma Putra, mekanisme ASEAN Troika ditubuhkan oleh pemimpin ASEAN pada tahun lalu bagi
memastikan kesinambungan usaha ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar.
“Kini ahli Troika terdiri daripada Pengerusi ASEAN terdahulu, semasa, dan akan datang, iaitu Indonesia, Laos dan Malaysia.
“Sesi Informal Consultation ini bertujuan memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan ahli ASEAN Troika berkaitan pelaksanaan berkesan Kemuafakatan Lima Perkara (Five-Point Consensus – 5PC) serta ASEAN Leaders’ Review and Decision on the 5PC dalam mencari penyelesaian damai dan mampan untuk Myanmar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Wisma Putra memberitahu, bagi Sesi Extended Informal Consultation pula, ASEAN Troika akan disertai oleh Menteri-Menteri Luar Negeri dan wakil-wakil daripada negara-negara anggota ASEAN.
Katanya, Sesi Konsultasi ini akan tertumpu kepada usaha keseluruhan ASEAN dan hala tuju pelaksanaan 5PC dalam menangani krisis di Myanmar.
“Semasa mesyuarat-mesyuarat ini, Malaysia akan berkongsi pendekatan yang akan diambil dalam menangani konflik di Myanmar apabila Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2025.
“Konsultasi ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024. Konsultasi ini terus menekankan peranan penting ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar serta memastikan keamanan dan keselamatan serantau,” katanya. – WILAYAHKU