MALAYSIA mencapai kemajuan ketara dalam reformasi undang-undang dan institusinya yang terus memberi keutamaan dan melaksanakan pendekatan seluruh masyarakat bagi memperkukuh hak asasi manusia di negara itu.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Bala Chandran Tharman berkata sejak 2018, sebanyak 26 undang-undang dan peraturan sama ada dimansuhkan atau dipinda, atau baharu digubal kerana kerajaan terus memberi ruang kepada masyarakat untuk mengamalkan kebebasan asasi dan hak asasi manusia.
Ia termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori pada Julai 2023 yang melibatkan pindaan kepada tujuh undang-undang berkaitan, menegaskan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bagi dalam mempertahankan hak asasi manusia dan keadilan untuk semua di Malaysia.
Malaysia juga telah memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri pada Mei 2023 dan beralih dari tindakan hukuman kepada langkah belas kasihan dalam menangani isu kesihatan mental.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Negara di sesi Penilaian Berkala Sejagat Keempat di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada Khamis (25 Jan).
Bala Chandran juga menggariskan usaha gigih Malaysia dalam melindungi kanak-kanak, wanita dan golongan rentan daripada eksploitasi, keganasan dan penderaan semasa Sesi ke-45 UPR.
Ini termasuk menggubal Akta Anti Gangguan Seksual dan Undang-Undang Anti Menghendap, serta pindaan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak pada 2023.
“Malaysia telah mengutamakan hak asasi manusia sebagai asas kepada pembangunan negara dan dalam meningkatkan taraf hidup rakyatnya.
“Kerajaan menerusi kerangka Madani berusaha mewujudkan masyarakat yang adil dan prihatin, saling percaya serta hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata Pangkalan Data Pemantauan Cadangan Nasional (National Recommendation Tracking Database) yang ditubuhkan untuk melaksanakan dan memantau kemajuan cadangan hak asasi manusia oleh Majlis, juga telah membentuk pemilikan yang lebih kukuh dan mengukuhkan penyelarasan dalam kalangan agensi kerajaan serta pemegang taruh bukan kerajaan.
“Sebagai sebuah negara membangun, kami akan terus mengutamakan hak asasi manusia bersama pembangunan kerana kedua-duanya saling berkait dan kami akan melakukannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Mengorak langkah ke hadapan, kami juga akan meneruskan pendekatan seluruh masyarakat yang memberi penekanan kepada pencegahan, khususnya untuk perlindungan golongan rentan dan melabur dalam literasi hak asasi manusia melalui program peningkatan kesedaran dan pembinaan kapasiti,” katanya.
Ini merupakan penilaian terhadap situasi hak asasi manusia di Malaysia yang keempat. Sebelum ini, penilaian telah dilakukan pada 2009, 2013 dan 2018.
Laporan Negara mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Malaysia adalah hasil usaha yang menyeluruh dan bersama dengan semua pemegang taruh yang melibatkan beberapa siri perbincangan termasuk pihak masyarakat madani dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
UPR merupakan satu proses antara kerajaan yang diwujudkan di bawah rangka kerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi menilai rekod hak asasi manusia bagi setiap negara anggota yang dinilai sekali setiap empat tahun setengah.
Ia memberi peluang kepada setiap negara yang dinilai untuk berkongsi maklumat akan usaha dan langkah yang telah diambil bagi meningkatkan tahap hak asasi manusia di negara masing-masing.
UPR juga merupakan satu mekanisme kajian semula setara yang dilaksanakan atas pendekatan yang konstruktif untuk semua negara anggota PBB mengemukakan saranan dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. – BERNAMA