Berita

Malaysia kecam penggunaan peranti komunikasi sebagai senjata di Lubnan

Foto: REUTERS
- Diterbit 19 September 2024 6:12 PM MYT

MALAYSIA melahirkan rasa bimbang dan mengecam sekeras-kerasnya serangan siber yang menggunakan peranti komunikasi sebagai bahan letupan di seluruh Lubnan sejak kelmarin.

Serangan tersebut meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa dan lebih 3,300 lagi cedera.

Menurut Wisma Putra, serangan siber itu telah menggugat keselamatan, kestabilan dan kedaulatan Lubnan.

“Malaysia bersolidariti dengan Lubnan dalam krisis ini dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam meredakan situasi yang sedia tegang.

“Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi itu, serta kepada kerajaan dan rakyat Lubnan.

“Kami berdoa agar mereka yang cedera segera sembuh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wisma Putra memberitahu, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tersebut.

Walau bagaimanapun Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang memantau perkembangan dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.

“Semua rakyat Malaysia di Lubnan disaran mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi nasihat perjalanan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas