Berita

Malaysia, Iran, Hamas sokong usaha gencatan senjata, pendamaian di Gaza

- Diterbit 20 Ogos 2024 10:24 AM MYT

KERAJAAN Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap usaha gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza, yang sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara tersebut dalam satu panggilan telefon bersama Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim lewat petang semalam.

“Bicara kami menyentuh beberapa usaha penting terkait usaha untuk merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza.

“Saya juga menyatakan sokongan penuh kerajaan Malaysia terhadap usaha tersebut yang sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.

“Ini termasuk cadangan Turkiye untuk menghimpunkan pimpinan dunia Islam menerusi sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Ia bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya, supaya mendesak rejim Zionis Israel segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Anwar, Kerajaan Iran dan Hamas senada dan menyokong inisiatif tersebut termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal.

“Pada masa sama, saya serta Dr Masoud dan Dr Basem berkongsi pendirian sama, di mana usaha mewujudkan perdamaian ini perlu bermula dengan rejim Israel menghentikan sepenuhnya serangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas