MALAYSIA dikenakan tiga notis daripada Kedutaan Amerika Syarikat berhubung keengganan negara mengistiharkan Hamas sebagai pengganas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas beliau, sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, Malaysia berhak untuk menyuarakan pandangan negara dalam isu-isu semasa khususnya yang melibatkan hak kemanusiaan sejagat.
“Seperti yang saya jelaskan semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada 24 Oktober 2022, Selasa lepas, ini bukanlah isu negara Arab semata-mata tetapi isu kemanusiaan yang wajar disuarakan dan dipertahankan oleh seantero masyarakat dunia.
“Meskipun kebarangkalian bakal berdepan dengan teguran atau amaran daripada mana-mana pihak, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan. Elemen-elemen di atas boleh datang dalam pelbagai keadaan dan cara, sama ada tersurat mahupun tersirat,” katanya ketika sesi jawaban lisan Perdana Menteri di Parlimen hari ini.
Tambah beliau, Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dan ditekan mengenai pendirian negara berkenaan isu Palestin.- WILAYAHKU