MALAYSIA dan Brazil senada dalam isu melibatkan konflik di Gaza apabila mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera.
Desakan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dalam kenyataan bersama ketika kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan bilateral di Rio de Janeiro, semalam.
Pertemuan itu bersempena dengan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang berlangsung sehingga esok.
Dalam kenyataan bersama yang dikongsi Wisma Putra itu, kedua-dua pemimpin itu mahu Israel memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dapat disalurkan tanpa sekatan.
Malah kedua-dua mereka memperkukuh sokongan kepada penubuhan negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
“Ia berdasarkan kepada sempadan sebelum 1967 selain keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata kenyataan bersama itu.
Di sebalik semuanya itu, kedua-dua pemimpin juga menegaskan komitmen memerangi ketidakadilan serta kemiskinan selain memperbaiki taraf hidup rakyat.
Menerusi komitmen berkenaan, Presiden Brazil mengalu-alukan pelancaran ‘Global Alliance Against Hunger and Poverty’ dan menghargai keputusan Malaysia untuk menyertainya sebagai negara anggota pengasas.
Seperkara lain, Malaysia dan Brazil akan meningkatkan lagi kerjasama bilateral meliputi bidang kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pertanian serta sains, teknologi dan inovasi.
Perdana Menteri dan Presiden Brazil turut mengalu-alukan peluang-peluang yang harus diterokai bersama menjelang 2025 khususnya apabila Malaysia mengetuai blok Asia Tenggara selaku Pengerusi ASEAN dan Brazil pula selaku Pengerusi BRICS.
“Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Brazil atas undangan menyertai Sidang Kemuncak G20.
“Justeru Perdana Menteri mengundang pula Presiden Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada 2025 nanti,” jelas kenyataan tersebut. – WILAYAHKU