MALAYSIA berupaya muncul sebagai hab utama bagi pembekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik (EV), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika berkongsi keyakinan itu, Perdana Menteri berkata cip kuasa itu merupakan komponen penting dalam proses peralihan tenaga serta teknologi penyahkarbonan.
Beliau berkata EV misalnya mengandungi lebih daripada 3,000 cip yang juga dua hingga lima kali lebih banyak berbanding kenderaan dengan kapasiti enjin pembakaran dalaman.
“Kerajaan menyokong (usaha) meneroka teknologi baharu seperti hidrogen hijau, teknologi nuklear dan penyimpanan tenaga berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan memenuhi matlamat Perjanjian Paris 2015,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata bermula September ini, Akses Pihak Ketiga akan dibenarkan dalam industri bekalan elektrik negara yang membolehkan pihak lain membekal tenaga menggunakan saluran penghantaran Tenaga Nasional Bhd, sekali gus mencerminkan minat pelabur asing yang tinggi terhadap Malaysia. – BERNAMA