PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia turut berduka cita di atas tragedi yang menimpa Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasi yang disahkan maut dalam insiden helikopter terhempas dan turut mengorbankan lapan yang lain awal pagi hari ini.
Katanya, beliau turut terkesan dan sedih tatkala menerima laporan mengenai insiden pesawat di wilayah utara Iran melibatkan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian.
“Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan semalam, dan pasukan penyelamat telah mengumumkan bahawa Presiden Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian dan delegasi ditemui maut dalam nahas tersebut,” katanya hari ini.
Perdana Menteri berkata beliau sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.
“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.
“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin.” katanya.
Ujarnya, Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.
“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” katanya. – WILAYAHKU