Berita

Malaysia bebas penyakit anthrax

HARGA lembu bergantung kepada saiz haiwan tersebut.
- Diterbit 11 Mei 2025 10:30 AM MYT

JABATAN Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesahkan Malaysia bebas daripada penyakit anthrax sejak kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976.

DVS dalam kenyataan mengesahkan, sehingga kini, tiada sebarang laporan berkenaan penyakit anthrax di negara ini.

“Walau bagaimanapun, penyakit ini sentiasa aktif dikebanyakan negara di serata benua dan wabak yang terbaharu berlaku di Thailand baru-baru ini.

“Pada ketika ini, DVS kekal berwaspada dan memohon jaminan daripada
Thailand bahawa tiada haiwan dan produk haiwan yang disyaki dari
kawasan berisiko tinggi anthrax dieksport ke Malaysia,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, negara Thailand turut dimohon memberikan status semasa, langkah-langkah yang diambil untuk mengawal pergerakan haiwan dan produk haiwan di Thailand dan pelan kontingensi mengenai penyakit anthrax.

“Ini berikutan Malaysia mengimport ternakan hidup iaitu lembu dan kerbau dari Thailand, dan semua ternakan yang memasuki negara ini perlu melalui proses
pemeriksaan veterinar yang ketat sebelum dibenarkan masuk.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, DVS telah, sedang dan akan terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan yang berikut, demi memastikan negara sentiasa bebas daripada anthrax,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan wabak penyakit anthrax menyebabkan satu
kematian manusia pada 1 Mei
2025, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit (DDC),
Thailand.

Kes tersebut dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan
pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan,
timur laut Thailand yang bersempadan dengan Republik Demokratik
Rakyat Lao.

DVS turut menasihati dan menyeru para penternak agar meningkatkan
tahap biosekuriti ladang terutamanya menjelang musim Hari Raya Korban akan datang.

“Setiap ternakan baharu yang dibawa
masuk ke ladang, perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pemindahan ternakan yang sah.

“Para penternak perlu berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit pemindahan yang sah terutamanya ternakan yang dibawa masuk dari negara jiran,” katanya.

Tegas kenyataan itu, semua pihak khususnya penternak perlu mengambil perhatian terhadap perkembangan semasa kejadian penyakit haiwan dan melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal penyakit pada haiwan ternakan masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas