MALAYSIA bebas daripada sebarang wabak penyakit babi yang disebabkan bakteria Streptococcus suis.
Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS), Kementerian Keterjaminan Makanan dalam kenyataan memaklumkan akan sentiasa memantau situasi semasa.
“DVS kekal komited memastikan
kesihatan haiwan serta keselamatan makanan berasaskan haiwan
sentiasa terpelihara demi melindungi kesihatan awam veterinar dan
kesejahteraan rakyat.
“Bagi individu yang terlibat dalam industri babi (penternak, pekerja rumah
sembelih, pengangkut daging, dan penjual daging), amalkan langkah-langkah perlindungan diri yang sesuai seperti memakai sarung tangan dan
pakaian pelindung semasa mengendalikan babi atau produk babi,” ujarnya.
Tegas kenyataan itu, setiap penternak dan pengendali ternakan babi digalakkan berwaspada terhadap perubahan kesihatan diri dan segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan sekiranya bergejala.
“DVS turut menyeru semua pihak, khususnya para penternak, agar sentiasa
peka terhadap perkembangan semasa penyakit haiwan dan melaporkan
segera sebarang tanda klinikal kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar
berhampiran atau melalui talian hotline 03-8870 2041,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, DVS menerima pelbagai reaksi terhadap laporan media tempatan Thailand tentang kes kematian manusia akibat jangkitan bakteria Streptococcus suis yang berpunca daripada ternakan babi di Thailand baru-baru ini.
Penyakit tersebut atau streptococcosis yang juga dikenali sebagai deafness fever pada manusia, telah mencetuskan amaran kesihatan awam di negara tersebut. – WILAYAHKU