Berita

Malaysia antara negara di rantau ASEAN paling aman, pantas pertumbuhan ekonomi

- Diterbit 28 November 2024 7:01 PM MYT

NEGARA-NEGARA luar melihat Malaysia sebagai antara negara di rantau ASEAN yang paling aman di dunia dan pantas dalam pertumbuhan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu disampaikan oleh pemimpin-pemimpin enam negara sepanjang lawatan singkat beliau ke Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil, Korea termasuk China.  

“Orang luar meneropong (Malaysia), dia cakap ini antara negara paling rumit dijaga, pelbagai warna kulit, tetapi ada semangat kesatuan dan aman. 

“Dan ini juga rantau Malaysia dan ASEAN yang dianggap paling pantas kelajuan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Festival Idea Putrajaya.

Dalam pada itu, Anwar menempelak segelintir pihak yang dangkal dan bankrap dari segi idea dengan cara mencari isu-isu yang boleh menarik orang melalui hal perkauman sempit.

Beliau berkata sebagai contoh katanya, kalau dalam kalangan orang Melayu akan tercabar kerana ada satu dua poster dalam Bahasa Cina, dalam kalangan orang Cina pula, mereka akan kata rakyat Cina dinafikan hak dan tercabar.

“Pergi ke negeri-negeri akan kata hak rakyat Sabah terhakis, ini semua sentimen yang boleh menarik orang tapi tugas anak muda ialah untuk mendapat pencerahan cara kritis, kebenaran tentang kenyataannya, mendengar dari semua pihak dan mencari jalan penyelesaiannya.

“Kalau tidak, seperti kita tahu dia guna sentimen perkauman yang kononnya kebebasan dan nasionalisme. Dia bukan yakin dengan patriotisme, tetapi guna sentimen untuk membakar semangat membenci orang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas