MALAYSIA sedang berusaha untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) bagi memperkukuh hubungan dengan negara tersebut dalam kerangka serantau yang lebih luas.
Menurut Kementerian Luar Negeri, Malaysia akan memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 untuk tujuan tersebut dengan sidang kemuncak berkenaan berkemungkinan diadakan di Kuala Lumpur atau AS.
“Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dan pragmatik dalam menjalin hubungan yang baik dan berterusan dengan kepimpinan baharu AS. Hubungan yang telah terjalin sekian lama ini akan terus diperkukuhkan melalui pendekatan diplomasi berterusan di pelbagai peringkat.
“AS kekal sebagai rakan strategik utama Malaysia, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Sebagai rakan dagang ketiga terbesar dan penyumbang utama pelaburan langsung asing di pelbagai sektor, kerajaan mengakui kepentingan hubungan ekonomi yang kukuh dan berterusan dengan AS,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Seri SV Vell Paari mengenai pendirian diplomatik dan komitmen kerajaan dalam menghadapi pemerintahan Presiden Donald Trump.
Jelas kementerian berkenaan, dalam persekitaran ekonomi global yang semakin berubah, kerajaan akan terus memastikan hubungan tersebut berkembang secara berterusan, sejajar dengan kepentingan negara.
Kerajaan katanya, yakin bahawa jalinan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS akan terus meningkat secara konstruktif.
“Dengan pendekatan diplomasi yang proaktif, perundingan perdagangan yang aktif serta dasar luar yang bersifat berkecuali, pragmatik dan seimbang, kepentingan ekonomi negara dapat terus terjamin selaras dengan memantapkan daya saing negara di peringkat global.
“Kerajaan komited untuk mengekalkan hubungan Malaysia-AS yang kukuh dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu. Melalui pendekatan yang strategik, Malaysia akan memastikan kepentingan negara terus terpelihara,” katanya. – WILAYAHKU