BAGI memupuk rasa cinta generasi muda terhadap karya lagu puisi, FB Media Ventures bakal mengadakan Showcase Malam Laguan Puisi: bunyian irama dan prosa pada 8 Februari depan.
Akan berlangsung di Panggung Ekseprimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), persembahan berkenaan mengambil inspirasi daripada puisi Sasterawan Negara.
Antaranya karya Datuk Seri A Samad Said, Datuk Usman Awang, Profersor Emeritus Muhamad Salleh, Datuk Rahman Shaari, Datuk Baha Zain dan Datuk Dr Zurinah Hassan.
Pengarah Projek dan Pengarah Muzik Malam Laguan Puisi, Shamsul Cairel Abdul Karim, berkata sebanyak 10 lagu puisi nukilan Sasterawan Negara dan tujuh lagu baharu telah dicipta khusus untuk malam berkenaan.
Namun lagu-lagu puisi yang pernah popular seperti Tetamu Senja, Jentayu, Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang akan dipersembahkan malam itu dan bakal didendangkan penyanyi tanah air iaitu Aqasha, Azizul Haqim, Ayu Damit dan Leaism.
“Saya memilih karya Sasterawan Negara kerana tidak mahu karya bernilai ini dilupakan.
“Tapi pada persembahan itu nanti, ada tujuh lagu baru yang saya hasilkan. Sebenarnya lirik untuk ketujuh-tujuh lagu itu sudah dicipta lama tetapi susunan muziknya yang mengambil masa untuk disiapkan.
“Pementasan ini dibuat kerana ia memiliki nilai yang cukup sentimental untuk saya.
“Saya banyak terbabit dengan lagu dan puisi sejak di zaman universti, jadi apabila Yayasan Hasanah memberikan dana, tanpa fikir panjang saya terus merancang mengadakan pementasan ini,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media semalam.
Menurut Shamsul Cairel lagi, showcase ini berkonsepkan persembahan pentas yang menggabungkan nyanyian, muzik, deklamasi puisi dan penceritaan melalui layar LED.
Elemen tradisional dari bunyian seruling dan erhu juga di masukkan melalui gubahan muzik.
Namun elemen-elemen moden dari bunyian keyboards dan synthsizers juga di gabungkan untuk memberi suatu nuansa baharu kepada lagu-lagu puisi.
Persembahan pada malam itu nanti akan turut menampilkan pendeklamator puisi iaitu Shukri Abdullah, Intan Nor Saina, Azree Ariffin, Ayudez Zuraina dan Wan Yusof.
Tiket dijual pada harga RM 80 untuk penonton biasa dan RM 30 untuk pelajar telah di buka untuk pembelian melalui imbasan kod QR melalui pautan https://malamlaguanpuisi.mystrikingly.com/.- WILAYAHKU