Berita

Majoriti kes COVID19 di Wilayah Persekutuan kerana saringan PKPD

MAJORITI kes penularan Covid-19 di Wilayah Persekutuan adalah kerana saringan PKPD. Gambar - BERNAMA
- Diterbit 14 Julai 2021 5:37 AM MYT

KES jangkitan COVID-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak menunjukkan tren luar biasa dan keadaan adalah terkawal.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa telah mengarahkan Pusat Penyelarasan Dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) untuk memperincikan kes-kes di Wilayah Persekutuan agar langkah yang lebih tepat dan berkesan dapat diambil.

“Majoriti kes yang dikenalpasti adalah daripada saringan yang dibuat di kawasan PKPD bersasar iaitu 18.5 peratus yang secara umumnya telah mula bertambah baik.

“Sebahagian lagi adalah daripada kes kontak rapat positif iaitu 52 peratus yang disumbang oleh pesakit yang gagal mematuhi peraturan kuarantin dalam rumah sendiri. Manakala 24 peratus lagi adalah kes sporadik dalam kalangan komuniti,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya terdapat lima faktor yang menyumbang kepada kes tinggi dan antaranya adalah saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu hampir 300 kes positif dilaporkan, lebih separuh (52 peratus) adalah jangkitan daripada kontak rapat yang kebanyakkannya dalam isi rumah dan masih terdapat jangkitan daripada kontak rapat di tempat kerja seperti di pasaraya (contohnya AEON Alamanda) dan pejabat, majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga, hampir seperempat adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitan namun berkemungkinan besar daripada komuniti dan terakhir sekali penularan kes berkemungkinan didorong oleh transmisi daripada Varian Delta yang lebih mudah berjangkit.

Tambahnya CCMC-WP akan memantau situasi ini terutama berkaitan peraturan kuarantin di rumah sendiri yang dirasakan tidak bersesuaian untuk diteruskan lagi dan CCMC-WP juga akan mengambil tindakan dengan menutup mana-mana tapak bina yg terdapat kes positif.

Dalam pada itu, Annuar menasihatkan majikan dan seluruh warga Kuala Lumpur untuk menyegerakan proses penvaksinasian selaras dengan dasar dan matlamat mencapai 80 peratus menjelang bulan Ogos bagi Kuala Lumpur.

Beliau juga menegaskan bahawa secara keseluruhannya keadaan di Wilayah Persekutuan adalah terkawal dengan jangkaan kes akan menurun pada minggu hadapan hingga akhir bulan Julai dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi di Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas